Kongsi bersama

GEORGETOWN, 24 Mac 2021 – Seminar Guru Merak anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bersama Yayasan Pesona dilihat mampu menyuntik semangat dan kreativiti dalam kalangan guru-guru berdepan PdPc dalam norma baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, seminar tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YGMB dalam membantu mengangkat martabat dan profesionalisme warga pendidik.

“Tema Merak yang diangkat menerusi program ini bertujuan memberi gambaran kreativiti yang boleh diterapkan oleh guru-guru ketika proses PdPc berlangsung. Lebih-lebih lagi apabila cabaran utama yang perlu dihadapi oleh guru-guru kini adalah mengajar dengan norma baharu.

“Sebenarnya, YGMB berjaya melaksanakan program seminar hari ini hasil kerjasama dengan Yayasan Pesona yang diterajui sendiri oleh Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil. Saya kira, pembabitan Pak Nil secara langsung dalam Seminar Guru Merak meninggalkan kesan mendalam khusus buat para peserta hari ini,” katanya.

Seminar Guru Merak yang berlangsung sepanjang hari itu dihadiri 150 peserta dan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad di The Top, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dekat sini hari ini.

Penampilan Ikon Pembelajaran Abad Ke-21, Pak Nil yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran sebagai pengemudi Seminar Guru Merak itu turut dilihat mampu menarik fokus setiap peserta sekaligus menambah pelbagai ilmu pengetahuan dan tunjuk ajar dalam bidang berkaitan.

“Pengalaman Pak Nil yang dianggap seperti Merak yang penuh warna-warni itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada guru-guru apabila mereka pulang dan mengharungi proses PdPc nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata pihaknya bercadang untuk meluaskan lagi seminar berkenaan ke seluruh negara dan sedang berusaha gigih untuk mendapatkan kerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Kita mahu lebih ramai guru di seluruh negara boleh merasai pengalaman baharu dalam Seminar Guru Merak ini. Oleh itu, YGMB berharap agar semua JPN sudi bekerjasama menganjurkan seminar ini,” ujarnya.