Kongsi bersama

GEORGETOWN, 24 Mac 2021 – Warga pendidik yang juga merupakan antara 150 peserta Seminar Guru Merak anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Yayasan Pesona mendapat reaksi positif apabila kebanyakan mereka menyatakan rasa puas hati setelah mengikut program itu.

Menurut Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Westland Pulau Pinang, Muhamad Syahmi Mohamad Jamil berkata, melalui seminar ini dia dapat belajar teknik berkomunikasi dengan lebih baik.

“Sebagai guru kaunseling, banyak yang saya peroleh melalui seminar hari ini. Teknik komunikasi yang diajar oleh Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi) boleh saya praktikkan ketika memberi sesi kaunseling dan digunapakai ketika ceramah dan sebagainya. Kehadiran saya dalam seminar ini amat tepat.

“Terima kasih saya ucapkan kepada YGMB dan Yayasan Pesona yang memikirkan idea bernas dalam menganjurkan seminar ini. Ia amat membantu para guru membina keyakinan untuk bercakap,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Dr. Nur Hidayah Che Ahmad, Seminar Guru Merak yang diikutinya hari ini telah banyak membuka minda dan kreativitinya dalam mempraktikkan teknik mengajar yang berkesan.

“Meskipun telah 10 tahun saya menjadi pensyarah, tetapi hari ini saya dapat sesuatu yang lebih daripada apa yang saya ada sebelum ini. Saya yakin ia sangat memberi manfaat kepada pensyarah baharu dan lama untuk mendapatkan teknik mengajar yang berkesan sama ada dalam kuliah mahupun tugasan luar.

“Dalam Seminar Guru Merak ini juga kita belajar tentang kaedah bercakap dengan betul, lontaran suara yang bersesuaian mengikut keadaan semasa. Pak Nil sendiri telah membawa aura yang melibatkan peserta secara menyeluruh sepanjang hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau, Norsilawati Ishak mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak YGMB dan Yayasan Pesona atas usaha murni mereka dalam meningkatkan tahap profesionalisme keguruan.

“Tahniah saya tujukan khas buat penganjur. Kita dapat banyak sangat ilmu hari ini dan ia sangat membantu dalam proses PdPc di dalam mahupun di luar bilik darjah,” katanya.

Sementara itu, Ikon Pembelajaran Abad ke-21 yang juga pengemudi Seminar Merak tersebut, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkata, dia sangat berharap agar segala perkongsiannya dapat digunakan untuk proses PdPc yang lebih berkesan sekaligus mampu menarik minat murid untuk belajar.

“Saya percaya, jika mereka mengaplikasikan apa yang diajar dalam Seminar Guru Merak ini, mereka akan berasa lebih yakin. Saya tahu, ramai guru yang masih malu untuk pelbagaikan suara ketika mengajar.

“Jadi, selepas diberi teknik yang betul dalam berkomunikasi, penggunaan suara dan sebagainya, saya percaya mereka akan mula guna masa sesi PdPc nanti,” katanya.