Kongsi bersama

KOTA BHARU, 28 Mac 2021 – Selepas lebih 10 tahun tidak diadakan, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) tampil dengan Pertandingan Bahas Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya bersemangat jitu dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai usaha memartabatkan profesion keguruan.

“Kami terus berusaha menyediakan platform ini bagi membolehkan para guru mengetengahkan bakat berbahas mereka dengan pelbagai isu menarik yang boleh dikupas.

Di samping itu, pertandingan bahas ini juga antara inisiatif YGMB dalam menambahkan lagi kemeriahan bersempena pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu yang dirasmikan hari ini,” katanya.

Sebanyak 16 pasukan yang terdiri daripada 64 warga pendidik telah mengambil bahagian dalam pertandingan bahas itu sejak di peringkat saringan yang berlangsung dari 16 hingga 19 Mac lalu.

Pada peringkat saringan, semua pasukan bertanding secara atas talian dan hanya empat pasukan berjaya ke peringkat separuh akhir di Hotel H-Elite dekat sini.

Dalam pada itu, Wan Munadi turut menyatakan hasrat untuk menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan memandangkan sambutan yang diperolehnya amat menggalakkan.

“Kita memang sudah buat perancangan untuk wujudkan semula bahas ini sebagai acara tahunan. Malah, kita akan fikirkan beberapa penambahbaikan seperti mewujudkan slot bahas dalam Bahasa Inggeris pula nanti,” ujarnya. Pertandingan akhir ini juga turut menampilkan Ikon Pembelajaraan Abad Ke-21, Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil) sebagai juri jemputan.

Sementara itu, peserta Pahang yang terdiri daripada Nasrul Isyam Abdul Hamid, Mohd Muzammil Ab Rahim, Mohd Norhamdan Rosli dan Ahmad Baihaqi Muhammad Yunus dinobatkan sebagai juara pertandingan itu selepas menewaskan pasukan Selangor di pentas akhir yang diadakan di Hotel Perdana dekat sini hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Pahang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000, piala pusingan YGMB, medal serta sijil manakala Selangor menerima wang tunai bernilai RM4,000 beserta medal dan juga sijil, manakala tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh pasukan Sabah dan Perak yang masing-masing menerima wang tunai bernilai RM3,000 dan RM2,000.

Peserta daripada pasukan Pahang iaitu Ahmad Baihaqi Muhammad Yunus turut diangkat sebagai pendebat terbaik dan membawa pulang wang tunai bernilai RM500. Kesemua hadiah tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.