Kongsi bersama

KOTA BHARU, 28 Mac 2021 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus bersemangat dan berusaha gigih dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memartabatkan profesion keguruan menerusi Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 (TKC) yang dilancarkan di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya akan terus menjaga kebajikan warga pendidik serta berusaha sedaya upaya menyediakan wadah untuk meningkatkan tahap profesionalisme keguruan di negara ini.

“Kalau kita lihat hari ini, profesion keguruan berada pada tahap yang amat mencabar terutamanya ketika pandemik ini terjadi. Mereka perlu biasakan diri dengan aktiviti PdPc norma baharu demi memastikan tiada anak didik yang tercicir.

“Namun, nasib guru juga sering diperjudikan apabila mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan undang-undang akibat perkara remeh. Kami di YGMB turut berusaha gigih menyediakan khidmat bantuan guaman khas kepada guru-guru yang menghadapi situasi sukar seperti ini,” katanya.

Wan Munadi turut menyatakan kebimbangan terhadap tahap kesihatan warga pendidik terutama bagi mereka yang masih dalam lingkungan usia yang muda.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang menjaga atau menguruskan hal ehwal kebajikan guru, kita dapati ramai guru pada usia muda yang terkena dengan penyakit kritikal sehingga membawa maut. Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk menasihati para guru untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan meskipun jadual harian dipenuhi dengan bebanan kerja.

“Kami di YGMB, akan terus berusaha memberi khidmat terbaik menerusi manfaat-manfaat yang kita tawarkan. Namun, harus diingat bahawa kesihatan diri juga amat penting.

Justeru itu, Wan Munadi berharap dengan pelancaran Gerakan Massa: TKC 2021 ini membolehkan YGMB menjadi antara badan yang disegani dan mendapat sambutan luar biasa oleh seluruh warga pendidik dalam negara ini.

YGMB juga bakal menaja 22 anugerah bersempena sambutan Hari Guru 2021 nanti. Antaranya ialah Anugerah Guru Cemerlang, Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pendidikan yang akan disampaikan pada Mei nanti.

Pelancaran Gerakan Massa: TKC 2021 itu disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim dan Pengerusi YGMB, Aminudin Adam.