Kongsi bersama

TERENGGANU – Seminar Guru Merak anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan kerjasama Yayasan Pesona mendapat sambutan yang amat baik untuk dianjurkan di setiap negeri.

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam berkata, pihaknya ketika ini mendapat banyak permintaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri untuk penganjuran Seminar Guru Merak di negeri masing-masing.

Beliau berkata, permintaan tinggi itu ekoran keberkesanan Seminar Guru Merak yang memberi latihan skil-skil komunikasi yang berkesan kepada para peserta yang rata-rata merupakan warga pendidik.

“Program Guru Merak dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Pesona, program ini dikendalikan oleh Ikon Pembelajaran Abad Ke-21, Datuk Aznil Nawawi. Seminar ini juga mendapat restu Kementerian Pendidikan.

“Seminar Guru Merak telah dianjurkan di Pulau Pinang sebelum ini dan terbaharu di Terengganu. Insya-Allah selepas ini ke negeri-negeri lain seperti diminta oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

“Sambutannya amat menggalakkan, seminar ini meningkatkan keberkesanan komunikasi guru-guru. Saya lihat mereka (guru) lebih berkeyakinan untuk mengajar selepas menimba ilmu di seminar ini.

“Teknik-teknik yang diajar oleh Aznil juga saya lihat berjaya menarik minat guru, mereka tidak berganjak sejak awal hingga seminar berakhir. Hasilnya guru lebih kreatif dan dapat menukar pendekatan dalam PdPc,” katanya.

Terdahulu semalam, Aminudin turun padang meninjau perjalanan Seminar Guru Merak yang berlangsung di Marang, Terengganu, turut hadir Pengerusi PIBKS Negeri Terengganu, Mohamad Ropaat Khamid.

Mohamad Ropaat ketika ditemui pada seminar berkenaan berkata, program berkenaan mempunyai ‘aura’ yang tersendiri dalam membangkitkan semangat para guru untuk meningkatkan skil komunikasi.

“Sebelum ini, di Terengganu kita anjurkan di peringkat negeri. Sekarang kita fokus mengikut daerah pula. Insya-Allah selepas ini kita akan bergerak ke daerah-daerah lain untuk memberi sesuatu yang baharu kepada guru.

“Sebelum ini, para guru mungkin tidak diberikan pendedahan khusus untuk skil komunikasi. Saya berharap melalui Seminar Guru Merak ini, mereka dapat sesuatu yang baharu dan bermanfaat,” katanya.

Sementara itu, Aznil atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil ketika ditemui berkata, semua peserta pada mulanya menampakkan sikap tidak pasti namun, ia berubah selepas seminar belangsung.

“Mulanya mereka tidak pasti mahu duduk sehingga seminar habis atau macam mana. Namun, akhirnya mereka (guru) terus bertahan dan gembira dengan apa yang didedahkan kepada mereka.

“Apa yang diajar semasa seminar terutamanya skil komunikasi digunakan sebaik mungkin dalam aktiviti. Apabila mereka gunakan skil yang diajar, mereka seperti mendapat kunci agar anak-anak tidak bosan dalam kelas,” katanya.

Yang diPertua Majlis Guru Besar Daerah Marang, Khairil Amin Mohamed yang turut menyertai seminar itu berkata, seminar berkenaan dapat membantu komunikasi dalam PdPc warga pendidik.

“Kita dapat belajar pelbagai skil atau kemahiran yang ditunjukan dalam modul yang dibawakan oleh Aznil. Sebagai selebriti terkenal, beliau memunyai skil komunikasi yang terbaik dan boleh dijadikan contoh,” katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Wakaf Tapai, Teo Boon Hian berkata, guru yang mengikuti seminar tersebut dapat belajar sesuatu yang baharu untuk digunakan dalam kelas.

“Ilmu yang diperolehi dalam seminar ini boleh mengidupkan suasana dalam kelas dan menambah minat murid untuk belajar. Banyak ilmu yang saya dapat dan boleh digunakan dalam pengajaran.

“Saya juga merupakan Jurulatih syarahan bahasa Cina di sekolah, jadi ada juga teknik yang boleh saya guna untuk melatih pelajar saya seperti kawalan suara dan ‘chest tone’,” katanya.

Dalam pada itu guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Nor Alya Zulkifli berkata, teknik yang diajar oleh Aznil seperti ‘Jerit Bisik’, ‘Kelajuan’ sememangnya amat membantu dalam kelas.

“Saya sangat teruja belajar teknik-teknil yang didedahkan oleh Pak Nil, seperti Jerit Bisik, kita diajar bagaimana untuk tarik perhatian murid dan sebenarnya bukan sekadar menjerit sahaja untuk tarik perhatian,” katanya yang merupakan guru bahasa Inggeris.

Sumber: Malakat Tribune (https://www.malakattribunenews.com/)