Kongsi bersama

PUTRAJAYA, 9 April 2021 – Sebagai sebuah organisasi utuh yang menjaga kebajikan warga pendidik, kali ini Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sekali lagi tampil dengan produk baharunya iaitu Skim Emas bersempena dengan Sambutan Hari Guru yang Ke-50 pada tahun ini.

Bagi merealisasikan produk Skim Emas memberi manfaat besar buat seluruh warga pendidik, YGMB hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategiknya iaitu Takaful Ikhlas Family Berhad.

Pengerusi YGMB, Tuan Haji Aminudin Adam berkata, Skim Emas tersebut dianggap sebagai hadiah atas sokongan jitu warga pendidik terhadap aktiviti dan program anjuran YGMB di seluruh negara dan ia bertepatan dengan pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021.

“Skim ini lain daripada yang lain kerana jangka hayat perlindungan sehingga individu tersebut berusia 80 tahun. Warga pendidik yang berusia sehingga 64 tahun boleh mendaftar di bawah skim ini dan ia tidak terhad kepada mereka yang masih berkhidmat sahaja. Jika sudah bersara pun masih boleh,” katanya ketika ditemui dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata pihaknya mewujudkan Skim Emas ini bagi memastikan tiada seorang pun warga pendidik yang terlepas peluang untuk menyertai YGMB berbanding dengan produk sedia ada sebelum ini.

“Sebelum ini, menerusi Skim 18 yang kita tawarkan, hanya mereka yang berusia 55 tahun ke bawah sahaja berpeluang menyertai YGMB. Jadi, boleh dikira sebahagian besar antara 30 hingga 40 peratus guru-guru telah terlepas peluang tersebut.

“Oleh itu, menerusi Skim Emas ini YGMB buka peluang kepada semua peringkat umur untuk menjadi ahli kami dan ia dianggap bersesuaian dengan keadaan semasa dalam norma baharu ketika pandemik Covid-19, lebih-lebih lagi kepada warga pendidik yang berisiko,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Munadi turut mengakui rekod baik YGMB dengan pihak Takaful Ikhlas Family Berhad turut memberi banyak kelebihan kepada Skim Emas ini sekali gus mempermudahkan proses keahlian bagi seluruh warga pendidik.

“Skim Emas tidak memerlukan sebarang lampiran rekod laporan kesihatan dan ia amat membantu mereka yang sudah berusia. Antara manfaat kebajikan ahli skim ini ialah Khairat Kematian, Khairat Kematian Pasangan, Khairat Kematian Anak, Keilatan Kekal, Keilatan Kekal Separa, Elaun Hospital dan juga Penyakit Kritikal.

“Sebenarnya, kali ini kita tawarkan manfaat lebih dua kali ganda berbanding Skim 18. Oleh itu, YGMB bersedia memberi peluang kepada 120,000 ahli sedia ada di seluruh negara untuk menukar status skim mereka kepada skim terbaharu ini,” katanya.

Wan Munadi turut menyifatkan Skim Emas adalah peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh warga pendidik tidak kira mereka yang baru berkhidmat, sedang berkhidmat mahupun telah bersara dalam sektor pendidikan.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dan Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Komersial Takaful Ikhlas Family Berhad, Mohd Jafni Abd Jalil di sini hari ini. Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Mohammad Yong Salleh.

Skim Emas tersebut bagaimanapun akan mula dilancarkan secara rasmi dalam majlis Sambutan Hari Guru Ke-50 yang akan diadakan pada penghujung Mei depan di Melaka.