Kongsi bersama

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

NIBONG TEBAL, 10 Sept 2021 – “Bapa selalu berpesan kepada kami untuk menjadi seorang manusia yang boleh memanfaatkan orang lain. Kata-katanya itulah menjadi pegangan dan dorongan buat kami bertujuh untuk teruskan jasa dan sumbangan yang ditaburnya kepada masyarakat selepas pemergiannya ini,” ujar anak keempat mantan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Nor Kamaliah Dato’ Ahmad Tarmizi, 37.

Mengulas lanjut berkaitan sumbangan arwah dalam aktiviti kemasyarakatan, Kamaliah mengakui rasa kagum dengan sifat arwah bapanya, Dato’ Ahmad Tarmizi Kamaruddin, 67 yang sanggup berulang alik ke Kemboja sejak tahun 2012 sehingga hujung hayatnya demi pembangunan masyarakat Islam di sana.

“Melihat kesungguhan bapa dalam memastikan kebajikan masyarakat Islam di Kemboja terbela, kami berasa sangat terharu dan bersyukur. Pada masa yang sama, kami adik-beradik semua sepakat untuk sentiasa menjadikan arwah sebagai idola dan meneruskan apa sahaja kegiatan yang pernah arwah lakukan demi kebaikan sejagat.

Meskipun mengakui Ahmad Tarmizi banyak menghabiskan masa dengan pelbagai akiviti dan tugasan hariannya sebagai pendidik dan aktivis kemasyarakatan seperti menjadi Pengerusi Yayasan Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar) Pulau Pinang, namun Kamaliah berkata bapanya tidak pernah abaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Sibuk macam mana sekalipun, arwah tetap akan luangkan waktunya untuk isteri, anak-anak dan cucu-cucunya. Bapa akan pastikan waktu hujung minggu dihabiskan bersama kami. Malah, kami juga memahami sekiranya ada waktu dan ketika bapa terpaksa mengutamakan tugasannya terlebih dahulu kerana kami percaya, apa yang dilakukannya itu adalah perkara yang baik,” jelasnya dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamaliah menjelaskan bahawa bapanya yang juga merupakan mantan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu amat gembira apabila dia dan dua lagi adik beradik berjaya menjejak langkah sepertinya menjadi warga pendidik.

“Bapa tak pernah paksa kami untuk jadi apa, tetapi sewaktu mengetahui saya dan dua orang lagi adik beradik menjadi guru, dia merupakan orang yang paling banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat sekali gus menjadi pendorong utama kami. Malah, beliaulah individu yang sering mengingatkan kami untuk menjadi ahli YGMB dan menguar-uarkan kepada guru-guru lain untuk turut serta mendapatkan perlindungan dan kebajikan mereka sebagai ahli,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat hadir menyantuni keluarga Allahyarham serta menyampaikan wang Khairat Kematian Ahli Seumur Hidup kepada balunya di rumah kediamannya dekat sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Wan Munadi turut menyerahkan wang Kelahiran Anak kepada Nor Kamaliah dan suaminya yang juga merupakan Ahli Skim 18 YGMB.

Ahmad Tarmizi meninggal dunia pada 25 Jun lalu akibat serangan jantung. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Nilwaiti Othman, 68 tahun, tujuh orang anak dan 15 cucu.