Kongsi bersama

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

SEBERANG PERAI, 10 Sept 2021 – Hilang tempat bergantung di saat anak-anak sedang membesar benar-benar memberi tamparan buat balu penerima Khairat Kematian Ahli Skim 16 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Allahyarham Cikgu Mohd Khairuddin Ismail, 44 yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2 Ogos lalu.

Balunya, Cikgu Hasmalina Harun berkata, pemergian suami secara tiba-tiba itu seperti mimpi ngeri buat dirinya dan anak-anak kerana selama ini kesihatan arwah berada pada tahap yang baik sehinggalah mengalami demam berlanjutan dan pengsan di rumah pada hari kejadian.

“Selama ini arwah memang sihat sahaja. Kami hanya mengetahui arwah menghidap penyakit jantung selepas sesi bedah siasat dilakukan.

“Saya akui pada mulanya amat sukar buat kami kerana kesemua anak memang terlalu rapat dengannya. Namun, sebagai orang Islam sudah pasti kita harus terima ketentuan Ilahi dan belajar untuk reda,” ujarnya ketika ditemui dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasmalina yang juga merupakan guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri itu turut mengisi borang penyertaan sebagai Ahli Skim 18 YGMB dengan bantuan anaknya apabila dia sendiri kini mengalami kesukaran pergerakan tangan akibat penyakit saraf yang dihidapinya.

“Saya memang sedang mendapatkan rawatan lanjut berkaitan sakit saraf ini. Saya masih boleh pegang beg atau barangan seperti biasa, namun tidak boleh angkat tangan ke atas.

Hasmalina turut mengakui penyertaan suaminya sebagai ahli YGMB hanya diketahui selepas menjumpai kad keahlian dalam beg dompet selepas pemergian arwah dan tidak sangka mereka boleh menerima manfaat bernilai RM8,000 itu hari ini.

“Saya kurang ambil tahu pasal YGMB sebelum ini. Namun, selepas melihat sendiri manfaat yang diperoleh arwah suami, saya membuat keputusan untuk turut serta mendaftarkan diri sebagai ahli YGMB memandangkan saya juga merupakan guru. Saya percaya, sedikit sebanyak ia mampu meringankan bebanan ahli keluarga.

Wang Khairat Kematian tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dekat sini hari ini.

“Wang ini juga boleh saya guna sebagai persiapan untuk anak sulung yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti mulai Oktober nanti,” katanya.

Allahyarham Mohd Khairuddin yang juga merupakan Guru Bahasa Melayu di SK Bakap Indah meninggalkan seorang balu beserta tiga orang anak iaitu Nur Intan Faziera; 20, Muhammad Eilham Faiez; 16 dan Muhammad Eilham Fakhrie; 13.