Skip to main content
x

300,000 GURU BELUM JADI AHLI YGMB

KUCHING, 14 Januari 2016 – Kira-kira 300,000 guru di seluruh negara masih belum lagi menjadi ahli kepada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang ditubuhkan bagi menjaga kebajikan golongan pendidik.

 

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, bagaimanapun sambutan setiap tahun daripada segi keahlian semakin meningkat.

 

"Kini YGMB mempunyai kira-kira 100,000 keahlian yang mana sebanyak RM12 juta telah dibelanjakan bagi kebajikan guru-guru ini.

 

"Kita menyasarkan pada tahun ini kira-kira 20,000 orang pendaftar baharu guru muda di seluruh negara khususnya melalui program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) bersama YGMB," katanya.

 

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas Program GM1M bersama YGMB di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri, Rakayah Madon dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Datuk Abdillah Adam.

 

Hampir 600 guru muda dari bahagian Kuching hadir dalam majlis itu yang mengandungi perkongsian ilmu daripada Alimuddin sendiri kepada guru-guru muda bagi menjadi seorang guru yang hebat termasuk amanat 2016 daripada Pengarah Pendidikan Negeri sendiri.

 

Alimuddin memberitahu, program GM1M  itu juga memberikan mereka peluang untuk mendekati guru-guru muda dengan menyampaikan maklumat mengenai YGMB dan produk-produk mereka.

 

"Produk GM1M yang baharu digerakkan pada tahun lalu di Terengganu diteruskan di Sarawak dan selepas ini kita akan ke Bintulu pada Februari nanti.

 

"Hanya dengan bayaran yuran bulanan RM10, guru-guru dapat menikmati jumlah keseluruhan nilai 16 faedah kebajikan melebihi RM70,000," ujarnya.

 

Sumber: Utusan Online