Enter your keyword

post

INFAK WANG KHAIRAT KEMATIAN YGMB ARWAH ISTERI KE JALAN ALLAH

INFAK WANG KHAIRAT KEMATIAN YGMB ARWAH ISTERI KE JALAN ALLAH

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

 

PASIR PUTEH, 9 Dis 2020 – Niat murni Allahyarhamah Cikgu Syumi Rafidah Ab Wahab, 42 yang suka bersedekah sepanjang hayatnya telah mendorong suaminya untuk menyalurkan wang khairat kematian keahlian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM8,000 yang diterimanya ke jalan Allah SWT.

 

Menurut suaminya, Abd Rahim Mat Jusoh, 54 sebagai pemegang amanah kepada wang khairat kematian tersebut dia ingin melunaskan tanggungjawab sebagai seorang Islam dan mengotakan wasiat arwah agar pahala berterusan dapat mengalir kepada isterinya yang telah pergi.

 

“Arwah isteri pernah berpesan, satu per tiga daripada harta ingin diinfak ke jalanNya. Malah, sepanjang hayatnya, dia memang suka bersedekah terutama ke rumah tahfiz dan sesiapa sahaja golongan yang memerlukan. Sebelum mula sakit kronik, dia selalu mengajak saya untuk berbuat kebaikan dengan pergi merata tempat untuk bersedekah.

 

“Jadi, seteleh pemergiannya saya berniat untuk meneruskan apa yang dilakukannya itu. Lagipun, ibunya masih hidup, jadi saya mahu infak kepada ibunya dan guna untuk keperluan anak selain sedekah kepada golongan memerlukan agar kebaikan itu kembali kepadanya di sana,” jelasnya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Wang khairat kematian itu disampaikan sendiri oleh Pengerusi YGMB Tuan Haji Aminudin Adam bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam siri ‘Ziarah Prihatin YGMB’ bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-26 yang berlangsung pada 26 Disember lalu.

 

Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPN Kelantan, Kamal Ruzaman Hasan dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPN Kelantan, Che Hanuni Che Ali.

 

Cikgu Syumi Rafidah yang mengajar di Sekolah Agama Bantuan Rakyat (SABK) Darul Ulum Al- Muhammadiah, Bachok, Kelantan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya sehingga menghentikan denyutan jantungnya pada 22 November lalu.

 

Whatsapp kami
1