Enter your keyword

post

KARYA KREATIF GURU DIKOMERSIALKAN

KARYA KREATIF GURU DIKOMERSIALKAN

KUALA LUMPUR 22 Disember 2017 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) akan bertindak sebagai sekretariat untuk mengumpul dan mendokumentasikan hasil karya kreatif golongan guru supaya dapat dipromosikan secara betul selain melindungi hak cipta mereka.

Persetujuan itu dicapai hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani YGMB bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Disember tahun lalu.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif YPBN, Maimunah Abu Bakar sambil disaksikan oleh Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah dan Timbalan Pengerusi YGMB, Dato’ Abdul Raof Hussin.

Wan Munadi ketika ditemui selepas majlis itu berkata, banyak karya atau hasil kreatif guru dilaporkan tidak dipasar atau dikomersialkan secara betul menyebabkan berlaku unsur-unsur mengaut keuntungan oleh pihak tertentu menerusi perbuatan plagiat atau ciplak yang merugikan mereka.

“Ada kalangan guru yang menulis ini memperkenalkan teknik mengajar dalam kelas yang kreatif dari segi teknik dan ideanya. Kalau tidak dikumpulkan termasuklah karya-karya mereka yang telah memenangi pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, dikhuatiri ia akan disebarkan secara sewenangwenang sekali gus tidak memberi manfaat kepada mereka.

“Kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh YPBN untuk berkongsi kepakaran dalam melaksanakan program ini yang melibatkan warga pendidik di seluruh negara,” kata beliau.

Dalam aspek ini, YPBN menyediakan satu platform iaitu Global Content Exchange (GCE) yang akan menjadi Pusat Perdagangan dan Pertukaran Produk Digital termasuk bahan bacaan, filem serta animasi perisian, permainan maya, aplikasi komputer dan telefon pintar.

GCE akan bekerjasama dengan pengendali pemasaran global bagi produk dan perkhidmatan dalam talian dunia seperti google.com, Alibaba.com dan Amazon.com.

Whatsapp kami
1