KEHILANGAN TUNGGAK UTAMA BERI KESAN MENDALAM TERHADAP KELUARGA
Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen
JELEBU, 17 Sept 2020 – Pemergian guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Klawang, Allahyarham Sudarma Shukri pada 11 Julai lalu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam buat seluruh ahli keluarganya.
Anak sulungnya, Muhammad Farhan Sudarma mengakui bahawa kini dirinya sedang bersiap sedia untuk mengambil alih tugas utama sebagai ketua keluarga demi memastikan ibu dan adik-adiknya boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya sebagai anak sulung sudah tentunya merupakan individu yang paling rapat dan mengetahui keperibadian arwah secara lebih mendalam.
“Sepanjang hayatnya, arwah sering berpesan kepada saya agar belajar rajin-rajin, jaga adik-adik serta sentiasa berfikir rasional dalam melakukan sesuatu keputusan. Meskipun masih sedih, saya tetap perlu kuat dan tabah kerana besar lagi tanggungjawab saya untuk menyambung tugas arwah menjaga ibu dan adik-adik,” ujarnya.
Dia ditemui dalam Majlis Penyerahan Khairat Kematian oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di SK Kuala Klawang di sini, hari ini.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Reka Cipta, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu turut meluahkan kesyukuran apabila mengetahui bahawa arwah bapanya merupakan salah seorang ahli YGMB sehingga membolehkan mereka sekeluarga peroleh manfaat daripadanya.
“Saya memang tahu arwah merupakan salah seorang ahli YGMB ketika hayatnya masih ada lagi. Saya percaya, arwah yakin dengan segala manfaat yang ditawarkan oleh YGMB ini. Alhamdulillah, dengan adanya bantuan wang tunai seperti ini, sedikit sebanyak telah membantu meringankan beban keluarga kami dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Menurutnya lagi, apabila sudah bergelar guru setelah tamat pengajiannya nanti, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mendaftarkan diri sebagai ahli YGMB kelak.
Allahyarham Sudarma meninggalkan seorang balu yang juga merupakan guru Pendidikan Islam di sekolah sama, Masriah Siban, 53 beserta lima orang anak, Muhammad Farhan; 22, Muhammad Aiman; 20, Nurul Hannah; 18, Nurul Husna; 16 dan Nurul Fatihah; 14.
Waris Allahyarham Sudarma menerima wang Khairat Kematian YGMB sebanyak RM8,000 yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dan disaksikan oleh Guru Besar, Mohd Dzul Sukor.