Skip to main content
x

KEJADIAN ‘KERUSI PATAH’ KETIKA PROGRAM LADAP BAWA HIKMAH BUAT WARGA SK PUSAT CHABANG TIGA - GURU BESAR

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

 

KUALA TERENGGANU, 1 Okt 2020 - Kejadian kerusi patah yang mengakibatkan seorang guru terjatuh ketika program LADAP bersama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) pada Ogos lalu telah membawa hikmah kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga yang merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan apabila pihak YGMB menyampaikan sumbangan 45 buah kerusi baharu.

 

Guru Besarnya, Tuan Haji Abd. Razak Embong, 57 berkata pihaknya tidak menyangka sumbangan tersebut disampaikan dalam tempoh yang begitu pantas selepas insiden tersebut berlaku.

 

“Sebenarnya, pihak kami memang telah memeriksa kondusi kerusi-kerusi tersebut sebelum digunakan, namun malang tidak berbau, insiden guru terjatuh itu berlaku sewaktu CEO YGMB sedang memberi ucapan.

 

“Bagaimanapun, insiden itu telah membawa hikmah kepada warga sekolah kami. Tidak sangka dalam ucapannya, beliau terus menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan kerusi baharu dan hari ini beliau hadir sendiri untuk menyampaikannya kepada kami. Semuanya berlaku sangat pantas” ujarnya.

 

Abd. Razak turut mengakui sumbangan pantas yang diberikan oleh YGMB menunjukkan tahap keprihatinan organisasi itu dalam menjaga kebajikan dan keselamatan warga institusi pendidikan negara.

 

Penyerahan kerusi disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat kepada Abd. Razak di SK Pusat Chabang Tiga di sini. Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda.