NIAT SEDEKAH AKHIRNYA BERI MANFAAT KEPADA DIRI SENDIRI
Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen
JOHOR BAHRU, 29 Ogos 2020 – Bermula dengan hanya niat sedekah, seorang Guru Pendidikan Moral di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, Aliff Azrai Ahmad, 30 tidak menyangka akhirnya menerima manfaat daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebaik sahaja disahkan mengalami kecacatan kekal di siku kanan akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu.
“Saya hanya anggap RM10 yuran bulanan YGMB itu sebagai sedekah jariah saya. Tapi saya tak sangka, akhirnya niat saya itu kembali kepada diri saya. Betul lah kata orang, apabila kita bersedekah ia akan membuka rezeki kepada kita kembali.
Menurut Aliff, ini bukan kali pertama dirinya menerima manfaat daripada YGMB meskipun keahliannya boleh dianggap masih ‘hijau’,” katanya.
“Sebelum ini, saya pernah menerima manfaat daripada YGMB dengan jumlah lebih RM10,000 sewaktu mula-mula kemalangan dahulu untuk membiayai kos rawatan dan sebagainya. Malah pada 2018 juga, saya telah diberikan hadiah sempena kelahiran anak keempat saya.
“Kini, apabila sudah lebih dua tahun daripada kemalangan itu, saya disahkan mengalami kecacatan kekal. Saya sekali lagi memulakan proses untuk meminta sumbangan kebajikan dari YGMB dan Alhamdulillah prosesnya mudah serta berjalan dengan lancar. Hanya dalam tempoh yang singkat, YGMB sudah serahkan sumbangan ini kepada saya di sini,” ujarnya.
Sumbangan kebajikan YGMB untuk Ahli Skim 16 bernilai RM4,500 itu diserahkan oleh Pengerusi YGMB, Tuan Haji Aminudin Adam dalam Program Bicara Profesional Guru-Guru Baharu Daerah Johor Bahru Tahun 2020 di sini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru (Pengurusan Sekolah), Tuan Haji Ahmad Taufiq Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Aliff turut menegaskan bahawa YGMB menjalankan tugas mereka sebaiknya apabila sering menjadi organisasi terawal dalam menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada warga pendidik selaras dengan slogannya, ‘Daripada Guru Untuk Guru’.