SEMAKIN RAMAI GURU DARI BINTULU MENJADI AHLI YGMB
BINTULU, 29 Februari 2016 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) teruja dengan penerimaan positif warga pendidik khususnya guru muda di Bintulu yang ingin menjadi ahli yayasan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, dalam program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di Bintulu itu, sebahagian besar daripada lebih 500 guru yang hadir mengemukakan borang keahlian yang telah siap siisi.
“Dari segi manfaat yang kami tawarkan, rata-rata guru yang hadir merasakan adalah amat berbaloi untuk mereka menyertai YGMB.
“Apa tidaknya, dengan hanya bayaran yuran bulanan RM10 sahaja, ahli YGMB dapat menikmati jumlah keseluruhan nilai 16 faedah kebajikan yayasan ini yang melebihi RM90,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas program GM1M bertemakan ‘Menjulang Pendidikan Negeri Sarawak’ Peringkat Daerah Bintulu semalam.
yang turut hadir Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, wakil Pengarah Pendidikan Sarawak, Abdul Mu’in Abd Kassim dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan Timbalan Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Raof Hussin.
Sejumlah 16 faedah kebajikan yang akan dinikmati ahli YGMB itu meliputi khairat kematian (ahli), khairat kematian (pasangan), khairat kematian (anak), kemalangan, kecacatan kekal (ahli), kecacatan kekal (pasangan), kecacatan kekal (anak), elaun hospital dan malapetaka.
Tidak ketinggalan ialah faedah akibat musibah, insentif pelajaran (ahli), insentif pelajaran (anak), persaraan, mengerjakan haji, melahirkan anak dan perkahwinan.
Wan Munadi berkata, susulan sambutan memberangsangkan di Bintulu, pihaknya merancang membuat road show untuk memperkenalkan YGMB dengan lebih dekat lagi kepada para guru.
“Bintulu adalah lokasi kedua selepas Kuching, selepas ini kita akan menyusul ke Miri sebelum ke Sibu. Pada majlis GM1M separuh hari itu, kami turut menjemput wakil Agensi Kredit Kewangan Kebangsaan (AKKP) untuk memberi pendidikan mengenai ppengurusan kewangan kepada para guru,” katanya.