TINGKAT PROFESIONALISME GOLONGAN PENDIDIK
MARAN, 20 Julai 2017 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) melangkah setapak ke fasa baharu apabila tidak hanya menumpukan kepada kebajikan guru semata-mata tetapi membantu meningkatkan profesionalisme golongan pendidik.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sehingga kini hampir 30,000 guru dari seluruh negara telah menyertai program peningkatan profesionalisme yang dianjurkan pihaknya sejak dua tahun lalu.
“Kita pergi jauh selangkah lagi dengan membantu guru-guru dalam pembangunan profesionalisme dengan melaksanakan program-program di peringkat jabatan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang kita taja sepenuhnya.
“Program ini kita laksanakan berterusan dari masa ke semasa yang mana dalam tempoh tujuh bulan tahun ini sahaja kita membelanjakan kira-kira RM1.5 juta bagi melaksanakan program kebajikan dan peningkatan profesionalisme guru,” katanya dalam sidang akhbar selepas program peningkatan profesionalisme bertajuk ‘Peranan Guru Muda 1Malaysia Dalam Memperkasakan Transformasi Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya, Jengka di sini semalam.
Seramai 400 guru muda menyertai program peningkatan profesionalisme yang diadakan bersama dengan majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri PPD Maran.
Sumber: Utusan