WARIS PEMBANTU PENGURUSAN MURID TERIMA RM27 RIBU KHAIRAT KEMATIAN SEBAGAI AHLI YGMB
Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen
KEMAMAN, 1 Okt 2020 – Waris Pembantu Pengurusan Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Baru Rasau Kerteh 5, Allahyarhamah Siti Zaharah Mohd, 35 menerima manfaat Khairat Kematian bernilai RM27,006.38 daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
Wang tersebut diserahkan kepada anak sulung arwah, Muhammad Zulkarnain Zulkiflee, 12 yang hadir ditemani oleh ibu saudaranya, Faizah Mohd, 38 yang juga merupakan seorang Pembantu Operasi di SK Ketengah Jaya.
Faizah menzahirkan rasa syukur apabila pihak YGMB tampil menyampaikan manfaat Khairat Kematian dengan cepat dan mengakui wang itu dapat membantu ahli keluarga dalam menguruskan kehidupan anak-anak peninggalan arwah yang masih bersekolah.
“Meskipun baru setahun menjadi ahli, arwah tetap peroleh manfaat penuh seperti ini. Ini menunjukkan bahawa YGMB sangat menjaga kebajikan ahlinya, keluarga dan juga waris untuk meneruskan kehidupan.
“Sebelum meninggal dunia, arwah turut berpesan kepada saya agar menjaga anak-anaknya sebaik mungkin. Jadi, saya perlu pastikan kebajikan mereka terjamin,” ujarnya dengan nada sebak.
Wang Khairat Kematian itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tuan Haji Idris Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam Majlis Penyerahan Khairat Kematian oleh YGMB di sini.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda dan Guru Besar sekolah tersebut, Selina Shafie.
Siti Zaharah meninggal dunia pada 1 April lalu akibat penyakit lelah meninggalkan suami dan tiga orang anak iaitu Muhammad Zulkarnain, Muhammad Zikir; 7 dan Muhammad Zubir; 6.