Enter your keyword

post

YGMB BANTU GURU SEDIA KOS GUAMAN

YGMB BANTU GURU SEDIA KOS GUAMAN

PENDANG, 3 OGOS 2018 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) komited dalam menjaga kebajikan para guru di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya kini mempunyai 100,000 ahli.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun yayasan menjangkakan pertambahan ahli sebanyak 50,000 orang.

“Kita sentiasa menjaga kebajikan ahli dan positif serta peka akan keperluan semasa guru,” katanya ketika ditemui pada Program Guru Muda di Pendang Lake Resort, baru-baru ini.

Menurut Wan Munadi, bermula Julai lalu, pihak YGMB telah melancarkan penambahbaikan skim ahli baharu yang turut meliputi kos bantuan guaman maksimum RM30,000 kepada guru.

“Saban hari kita melihat pelbagai isu yang melibatkan guru termasuk berdepan tindakan undang-undang dalam menjalankan tugas mendidik seharian.

“Dengan adanya tanggungan kos bantuan guaman ini, nasib guru lebih terbela,” ujarnya.

Wan Munadi berkata, pakej ini yang juga terdiri daripada 18 manfaat sebagai ahli ditawarkan kepada semua guru yang sedang berkhidmat termasuk kemalangan jalan raya, insentif pendidikan dan penyakit kritikal serta banyak lagi.

Sementara itu, Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan yang turut hadir mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YGMB atas penganjuran program Guru Muda tersebut.

“Saya mengenali kepimpinan yayasan dan tahu mereka amat komited untuk membantu kementerian dan saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Wan Saiful berkata, golongan guru muda adalah pihak yang akan melahirkan generasi pemimpin masa depan.

“Peranan mereka amat penting dan pihak Kementerian Pendidikan akan sentiasa memberi sokongan kepada guru agar mereka boleh memainkan peranan yang baik,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Raof Hussin.

Whatsapp kami
1