YGMB SEDIA TERIMA GURU DARI PELBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN
SEREMBAN, 12 Mac 2016 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sedia membuka keahliannya kepada warga pendidik dari pelbagai agensi kerajaan dan tidak hanya terhad kepada guru dan staf sokongan di bawah Kementerian Pelajaran.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, antara yang boleh diberi peluang termasuklah guru tadika Kemas di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta guru yang berkhidmat dengan majlis agama Islam negeri.
“Kita sudah pun membuka pintu kepada pensyarah dan kakitangan di institusi pengajian tinggi iaitu Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Perak menyertai YGMB.
“Sudah tentu kita juga wajar melebarkan sayap kepada guru-guru yang berkhidmat di institusi pendidikan lain kerana jumlah mereka besar.
“Dengan cara ini, pelbagai faedah menarik yang disediakan oleh YGMB dapat dikongsi dengan golongan guru terbabit,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya di sini hari ini.
Yang turut hadir, Guru Besar, Mohammad Fadill Mohd. Tisan dan Pengerusi PIBG, Mejar Omar Zai Abas.
Dalam majlis itu, Datuk Wan Munadi turut menyampaikan sumbangan kepada murid-murid sekolah itu yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015. Sebanyak 650 naskhah kertas soalan peperiksaan UPSR dari tahun 2011 hingga 2015 turut disampaikan kepada sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan seramai 50 peratus daripada 430 guru di seluruh negara menyertai yayasan itu menjelang tahun 2020.
“Kita akan teruskan program jelajah dan bekerjasama dengan jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.
Ujarnya, ahli YGMB boleh menikmati 16 manfaat kebajikan yang ditawarkan dengan bayaran hanya RM10 sebulan antaranya bantuan bencana, rawatan kesihatan, insentif pendidikan dan khairat kematian.
“Pada tahun lalu kita telah menyalurkan sebanyak RM1.9 juta sumbangan kebajikan kepada ahli-ahli dengan bantuan bencana menerima sumbangan terbesar,” ujarnya.