portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

FIRASAT ISTERI: AMBIL CUTI UNTUK MENJAGA SUAMI HINGGA NAFAS TERAKHIR

Galeri

KOTA BHARU, 18 Disember 2024 – “Pada pagi hari Jumaat itu, saya berasa tidak sedap hati dan hanya ingin meluangkan masa untuk menjaga suami,” luah Siti Fatimah Che Ali ketika dihubungi oleh YGMB baru-baru ini yang tidak menyangka bahawa firasat hatinya itu adalah petanda bahawa suami, Allahyarham Ustaz Lokman Che Mohd Ariffin akan meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

“Saya berasa berat hati untuk ke sekolah dan pada hari tersebut saya hanya meluangkan masa bersama dengan arwah kerana dua hari sebelum itu keadaan kesihatannya merosot apabila pendarahan otaknya menjadi teruk dan doktor minta kami sekeluarga untuk sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.”

Tambah Siti Fatimah yang berkhidmat sebagai AKP di SK Beris Kubor Besar, Bachok itu, pada hari tersebut Allahyarham Ustaz Lokman tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri selepas dimandikan olehnya dan telah disahkan meninggal dunia di rumah oleh Pegawai Perubatan yang tiba tidak lama sejurus dihubungi oleh pihak keluarga.

Allahyarham Ustaz Lokman meninggal dunia pada usia 54 tahun adalah merupakan seorang pesara dan telah berkhidmat buat kali terakhir sebagai Guru Pendidikan Islam di sekolah yang sama tempat isterinya berkhidmat. Beliau yang mempunyai sejarah diserang angin ahmar empat tahun lalu akibat darah tinggi adalah merupakan Ahli Skim Emas sejak 2022.

Allahyarham yang mempunyai enam orang anak berusia dalam lingkungan sembilan hingga 26 tahun itu telah menamakan dua orang anak perempuannya sebagai waris utama bagi Khairat Kematian yang berjumlah RM52,001.72.

Manfaat Khairat Kematian itu disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Drs. Ahmad Yani Muhammad dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat kepada Nur Farina Ezzati, 21 yang juga ditemani oleh ibunya pada satu majlis penyampaian yang diadakan di Maahad Muhammadi Pasir Pekan di Kota Bharu.