TAWAU, 7 Januari 2025 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyerahkan manfaat Penyakit Kritikal berjumlah RM25,189.95 kepada Ahli Skim 18, Mohd Asrif Abd Samat yang menghidap kanser kolorektum sejak awal tahun 2023.
Walaupun menghadapi cabaran kesihatan yang berat, Mohd Asrif tetap cekal dan bersemangat untuk terus hadir ke sekolah bagi mendidik anak-anak muridnya dan meskipun pihak sekolah menasihati beliau untuk mengambil cuti sakit, beliau memilih untuk terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik demi masa depan pelajarnya.
Dalam satu majlis penyerahan manfaat yang diadakan di Tawau, beliau mengungkapkan rasa terkejut namun sangat bersyukur dengan keprihatinan yang diberikan oleh YGMB terhadap para pendidik, khususnya ahli-ahli YGMB. Manfaat yang diterima ini memberi semangat baru kepada beliau untuk terus berjuang menghadapi cabaran kesihatan yang sedang dilalui.
“Walaupun saya sudah memiliki insurans peribadi, saya berasa seakan satu perkara yang sia-sia kerana penyakit saya ini tidak dilindungi atas alasan yang tidak wajar pada saya. Namun dengan bantuan daripada YGMB, saya rasa sangat dihargai dan diberi kekuatan untuk terus bertahan,” ujar Mohd Asrif.
Mohd Asrif berharap bantuan ini dapat mengurangkan beban kewangan untuk rawatan dan memberi tumpuan kepada pemulihan kesihatannya agar dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat.
Penyerahan manfaat Penyakit Kritikal ini disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah PPD Tawau, Tuan Haji Mat Noor Haji Sima dalam sebuah Program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan YGMB di SJKC Yuk Chin, Tawau.