KLUANG, 25 JUN 2025 – Normila Mohamed, guru di SK Felda Layang-Layang dan juga Ahli Skim Emas (ASE) Yayasan Guru Malaysia telah menerima manfaat Khairat Kematian berjumlah RM52,009.57 susulan pemergian suaminya, Allahyarham Ustaz Noor Haffizam Daud.
Allahyarham yang berusia 58 tahun meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi penyakit seperti kegagalan buah pinggang dan bengkak salur darah dalam perut. Sejak tahun 2019, beliau telah menghidap beberapa penyakit kronik namun tetap berkhidmat dengan penuh semangat hingga ke akhir hayat. Dalam tempoh akhir kehidupannya sejak November lalu, beliau masih hadir ke sekolah menggunakan kerusi roda dengan bantuan isterinya yang menghantarnya setiap hari.
Normila yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam menyatakan rasa terharu dan syukur atas jumlah manfaat yang diterima, dan mengakui wang tersebut amat membantu dalam meneruskan kehidupan seharian.
Majlis penyerahan manfaat tersebut diadakan di SK Kampung Melayu telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Ayob Ibrahim, sambil diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.