KOTA KINABALU, 18 JULAI 2025 – Yayasan Guru Malaysia telah menyampaikan manfaat kepada ahli dan waris Ahli Skim Emas (ASE) berjumlah lebih RM100,000 dalam Konvensyen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-3 Persatuan Guru Besar Malaysia.
Lea @ Leah Lewas yang merupakan isteri kepada mendiang Dulis Gurias telah menerima wang manfaat Khairat Kematian ASE suaminya berjumlah RM52,010.84. Mendiang yang juga merupakan mantan Guru Besar di SK Kebulu, Keningau telah menghembuskan nafas terakhir pada April lalu di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu akibat penyakit kanser saluran hempedu.
Dalam majlis yang sama, seorang lagi penerima manfaat ialah Zurina Mohd Yunos, 48, guru di SK Sembulan, Kota Kinabalu yang telah disahkan menghidap kanser payudara pada Mac lalu. Beliau menerima manfaat Penyakit Kritikal ASE berjumlah RM50,063.57.
Sebelum ini, beliau merupakan Ahli Skim 16 dan telah menaik taraf keahliannya kepada Ahli Skim Emas kerana manfaat perlindungan yang lebih baik. Tanpa memiliki sebarang insurans peribadi, beliau menyatakan rasa syukur atas bantuan kewangan yang diterima daripada YGMB yang dapat membantu menampung sebahagian besar kos rawatannya.
Penyerahan cek cura kedua-dua penerima ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad, serta disaksikan oleh Timbalan Pengerusi YGMB, Dato’ Haji Abdul Muie Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

