PUTRAJAYA, 29 Julai 2025 – Yayasan Guru Malaysia telah menyerahkan manfaat Khairat Kematian kepada dua waris ahli YGMB dalam majlis Perhimpunan Bulanan bersama kakitangan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan.
Dalam majlis tersebut, waris Allahyarhamah Wan Zurina Wan Abdullah, guru SMK Kota Kemuning telah menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas berjumlah RM52,033.97. Allahyarhamah meninggal dunia pada Mac lalu akibat kanser hati dan telah menamakan enam orang anaknya sebagai penerima manfaat. Suami Allahyarhamah hadir menerima cek cura tersebut bagi pihak anak-anaknya.
Turut menerima manfaat pada majlis tersebut ialah waris mendiang Revathi A/P Ramaiyah. Mendiang telah menamakan anak perempuannya, Shaveena A/P Kalimuthu, sebagai waris utama yang telah menerima manfaat Khairat Kematian ibunya sebanyak RM8,000.00 di bawah Ahli Skim 16. Mendiang merupakan guru Bahasa Tamil, Sains dan Reka Bentuk & Teknologi telah meninggal dunia akibat strok dan kencing manis.

