BESUT, 18 Jan 2022 – “Saya sentiasa kuat dan sihat untuk bangkit mengharungi perjuangan ini,” itu luahan hati Cikgu Raishan Abd. Aziz, 51 yang menghidap kanser payudara tahap tiga sejak Julai tahun lalu.
Raishan yang juga guru pemulihan bagi subjek Bahasa Melayu dan Matematik di Sekolah Kebangsaan Panchor berkata, perjuangan melawan kanser ini menjadi mudah apabila dirinya sentiasa berfikiran positif selain turut mendapat sokongan suami dan anak-anaknya.
“Saya sangat bersyukur sepanjang proses rawatan yang bermula dari pembedahan hingga proses kimoterapi dan radioterapi semuanya dapat saya tempuhi dengan mudah.
“Alhamdulillah dengan bantuan ahli keluarga terutama suami dan anak sulung yang bergilir-gilir menemani saya untuk mendapatkan rawatan di hospital manakala anak-anak lain yang membantu menguruskan rumah menjadi antara penyumbang kebangkitan saya dalam melawan kanser ini. Kini, saya hanya perlu berehat secukupnya dan fokus untuk kembali pulih,” katanya ketika ditemui dekat sini hari ini.
Raishan turut berterima kasih kepada pihak sekolah yang memahami dan membenarkannya untuk bercuti selama setahun bagi menjalani proses rawatan yang panjang.
Isteri kepada seorang anggota bomba dan penyelamat itu turut menerima wang manfaat Penyakit Kritikal sebagai Ahli Skim 18 (AS18) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM25,043.10 yang disampaikan di Pejabat Pendidikan Daerah dekat sini hari ini.
“Saya benar-benar terkejut dan tidak menyangka boleh menerima wang manfaat dengan jumlah yang besar seperti ini kerana selama menjadi ahli YGMB, saya kurang mengambil tahu tentang apa yang pihak mereka tawarkan.
“Rezeki yang Allah atur tidak pernah salah alamat. Pada mulanya saya hanya ingin membuat tuntutan rawatan bil hospital, tetapi selepas mengikuti kisah-kisah penerima manfaat terdahulu di laman sesawang rasmi mereka, saya baru tahu kewujudan manfaat penyakit kritikal dan terus menghubungi pihak YGMB. Ternyata semuanya dipermudahkan.
Ibu kepada enam orang cahaya mata itu turut teruja dan menguar-uarkan kepada ahli keluarganya yang juga merupakan warga pendidik untuk turut serta menjadi ahli YGMB agar sama-sama boleh menikmati manfaat yang ditawarkan.
Wang manfaat AS18 YGMB itu disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Tuan Haji Abdullah Zawawi Yahya dekat sini hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.