BACHOK 12 Mei: Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 memberi penekanan kepada pameran berkaitan pendidikan digital sebagai pendedahan kepada warga pendidik untuk teknologi baharu dunia pendidikan era masa kini.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Maznah Abu Bakar berkata, kaedah pendidikan digital itu dipamerkan di tapak pameran milik KPM di festival.
“Seperti mana dilihat di ruang pameran KPM, kita pamerkan berkaitan pendidikan digital. Apabila pengunjung atau warga pendidikan datang ke sini, mereka boleh lihat kita guna peranti untuk laksanakan pedagogi berteraskan digital.
“Jadi konsep di sini menerapkan 14 elemen yang ada dalam Sekolahku SEJAHTERA seperti elemen seronok, eksplorasi dan rasionalisasi bagi memangkin semangat guru-guru dan murid menyediakan diri ke alaf baharu.
“Di sini kita perlihatkan peranan guru…Sekarang kita baru lepas pandemik, anak-anak belajar di rumah dan digital jadi utama. Kita mahu, walaupun pandemik berakhir, pendidikan digital ini diteruskan selari IR 4.0,” katanya ketika ditemui pemberita.
FGM 2022 berlangsung bermula hari ini sehingga 16 Mei di Dewan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Kelantan. Selain, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung khususnya warga pendidik.
Selain itu katanya, guru-guru yang hadir ke FGM 2022 akan mendapat pelbagai manfaat daripada rakan pameran dari Sharp, Apple Malaysia, Google Malaysia dan sebagainya dan mereka juga akan mendapat sijil penyertaan digital yang akan dimasukkan ke dalam DELIMa.
Mengulas mengenai FGM 2022, Maznah berkata, festival berkenaan sebenarnya sudah lama dianjurkan dan ianya diadakan sekali dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada setiap tahun.
“Pada tahun ini, kita berpeluang untuk anjurkan FGM ini secara bersemuka selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan. Tujuannya jelas adalah untuk menghargai jasa guru yang mencurah bakti mendidik anak-anak pewaris masa depan negara.
“Saya berharap, dengan adanya FGM ini, para pengunjung dapat melihat aktiviti dan bahan yang kami sediakan untuk sektor pendidikan. Selain itu kita juga ada sektor pameran lain seperti pendidikan khas, vokasional dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
“Bahagian-bahagian yang saya sebutkan ini ada pameran mereka masing-masing, jadi jangan lepaskan peluang untuk datang saksikan sendiri…Antara yang ada ialah pameran pencapaian anak-anak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Maznah mengucapkan terima kasih kepada YGMB kerana bersama-sama dengan KPM dalam penganjuran festival dan yayasan itu juga memainkan peranan besar dalam mencari penaja-penaja bagi anugerah Hari Guru.
“Jadi, banyak jasa dan sumbangan YGMB ini kepada kementerian khususnya dalam memperkasakan peranan dan tanggungjwab guru untuk mendidik anak-anak pewaris negara,” katanya.