BACHOK 12 Mei – Selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan akibat pandemik Covid-19, Festival Guru Malaysia (FGM) kembali dianjurkan tahun ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Kelantan bermula hari ini sehingga 16 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan pada FGM 2022 bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang mana Kelantan sebagai tuan rumah.
Wan Munadi berkata, YGMB yang diamanahkan selaku penganjur FGM menampilkan pelbagai kelainan pada edisi kali ini untuk meraikan warga pendidik yang selama ini telah bertungkus lumus mendidik anak bangsa selama ini.
“Festival ini tidak dapat diadakan bagi edisi 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19. Jadi pada tahun ini segala persediaan dan persiapan telah dibuat untuk menganjurkan FGM 2022 secara besar-besaran yang akan berlangsung di UMK Bachok, Kelantan.
“Seperti mana warga pendidik sedia maklum, peranan utama YGMB adalah untuk memelihara kebajikan warga pendidik di samping membantu memartabatkan profesion keguruan negara.
“Maka, atas peranan dan tanggungjawab yang besar ini, YGMB sentiasa menjadi rakan strategik kepada KPM untuk membantu dan memberi sokongan padu kepada program-program yang boleh mengangkat lagi martabat profesion keguruan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya lagi, YGMB menyediakan pelbagai manfaat kebajikan dan jaminan perlindungan untuk guru-guru yang berkhidmat di seluruh pelosok tanah air dan sehingga hari ini YGMB mempunyai lebih 20 manfaat kebajikan dan perlindungan melalui empat skim atau kategori keahlian.
Selain itu katanya, tujuan FGM 2022 diadakan dalam bentuk karnival selama beberapa hari ialah bagi memeriahkan sambutan Hari Guru selain bagi memastikan ia benar-benar berkesan dengan program-program serta pengisian yang mengangkat jasa dan pengorbanan guru.
“Festival terbuka kepada orang ramai untuk sama-sama memeriahkan dan melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidik. Jika edisi 2019 kita menerima lebih 30, 000 ribu orang pengunjung, pada kali ini kita menjangkakan akan menerima sambutan yang lebih baik.
“Untuk warga pendidik, pada festival kali ini, sebanyak 27 anugerah Hari Guru akan disampaikan dalam Majlis Apresiasi FGM 2022 yang akan disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada 15 Mei 2022.
“Anugerah ini terdiri daripada beberapa kategori seperti Anugerah Ikon, Anugerah Cikgu Juara Digital, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pendidikan yang disediakan oleh penaja-penaja seperti BSN, Nestle, MDeC, Bank Islam dan YGMB sendiri,” katanya.
Sementara itu katanya, sebanyak 80 gerai pameran dan jualan makanan serta barangan disediakan untuk para pengunjung dengan pembaharuan ditampilkan pada kali ini berbanding edisi pertama FGM 2019 yang dianjurkan di Pulau Pinang dahulu.
“Salah satu fokus utama FGM ialah untuk memberi tumpuan kepada profesion keguruan dengan mendedahkan inovasi terkini dalam bidang pendidikan khususnya dengan kerjasama rakan-rakan penaja dan pempamer seperti Sharp, Apple Malaysia, Google Malaysia, Celcom dan sebagainya.
“Konsep penganjuran FGM ini diharap satu hari nanti akan setaraf pameran terbesar di Malaysia seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS),” katanya.
Dalam pada itu katanya, selain daripada pameran dan jualan, pelbagai bentuk aktiviti menarik disediakan setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang seperti Forum Perdana, Forum Pendidikan, demonstrasi teknologi baharu bidang pendidikan, Kayuhan Santai Bersama Menteri Kanan Pendidikan, dikir barat, tarian dan nyanyian, persembahan Upin & Ipin, demonstrasi wau dan gasing, cabutan bertuah dan banyak lagi.
“Hadiah Cabutan Apresiasi FGM 2022 buat pertama kali YGMB menyediakan hadiah berupa sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 AV tajaan Perodua sebagai menghargai sokongan dan kesetiaan ahli-ahli YGMB selama ini,” katanya.