portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

50,000 PENGUNJUNG DIJANGKA MERIAHKAN FGM 2022

Galeri

BACHOK: Kira-kira 30,000 hingga 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini yang bermula semalam hingga Isnin ini.

Pengarah Pendidikan Kelantan, Zulkernai Fauzi berkata, FGM 2022 dianjurkan bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang mana pada tahun ini, Kelantan buat pertama kali dipilih sebagai tuan rumah.

Zulkernai berkata, jangkaan pengunjung itu bersesuaian dengan penganjuran FGM yang berbentuk festival selama lima hari yang memberi peluang kepada warga pendidik, pelajar dan masyarakat untuk memeriahkan penganjuran.

“Festival ini berlangsung selama lima hari, kita di Kelantan ada cuti pada hari ini (Jumaat) dan Sabtu. Maka, dalam tempoh itu saya jangka lebih ramai guru, pelajar dan masyarakat akan datang ke program kita ini.

“Selain itu, kita juga akan menerima kehadiran daripada rakan-rakan strategik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke festival ini,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan tapak penganjuran FGM 2022 di sini.

Menurut Zulkernai, Kelantan amat bertuah kerana dipilih sebagai tuan rumah kepada Sambutan Hari Guru tahun ini dan pastinya, peluang keemasan itu tidak akan dilepaskan untuk menonjolkan keunikan negeri ini.

“Antara kelainan yang akan dibawa dalam FGM kali ini ialah kita akan tonjolkan keunikan seni budaya kepada warga pendidik daripada luar Kelantan seperti dikir barat, gendang, batik dan sebagainya.

“Menerusi festival ini, warisan seni budaya Kelantan didedahkan kepada masyarakat luar sana, selain menjadi medan kepada guru-guru di negeri ini mendedahkan segala inovasi yang mereka hasilkan kepada pihak luar.

“FGM juga akan diisi dengan pelbagai program lain seperti pameran dan sebagainya bermula dari pagi hingga petang. Anak-anak dan sekolah boleh tunjukkan bakat dan kebolehan mereka sempena penganjuran festival ini,” katanya.

Selain itu katanya, beliau yakin keterujaan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini akan memberi impak yang positif kepada warga pendidik khususnya guru-guru di Kelantan.