SEGAMAT, 12 Sept 2021 – Meskipun baru sahaja menyertai keahlian Skim Emas (ASE) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), namun ia tidak menghalang Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Nasir Mohamed Yunos, 60 untuk menikmati manfaat Hadiah Persaraan yang diterimanya dekat sini hari ini.
Nasir berkata dia tidak menyangka meskipun penyertaan keahliannya dalam ASE masih mentah, namun dia sudah layak menerima manfaat pertamanya dan mengakui bahawa YGMB terus komited dalam menjaga kebajikan warga pendidik meskipun telah tamat perkhidmatan.
“Kalau ikut memang saya tidak percaya lah boleh dapat hadiah ini sebab saya pun baru sahaja daftar jadi ASE. Namun saya bersyukur kerana ia membuktikan bahawa YGMB memang betul-betul menghargai jasa warga pendidik meskipun sudah bersara.
“Saya melihat usaha YGMB dalam memperkenalkan produk ASE ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk berterusan menjaga kebajikan warga pendidik di negara ini. Jadi, dengan penyertaan saya sebagai ahlinya juga boleh dianggap sebagai bukti dan tanda sokongan terhadap usaha murni YGMB,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Manfaat Hadiah Persaraan ASE itu diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Dalam pada itu, Nasir turut menasihati agar warga pendidik khususnya guru-guru yang sebelum ini tidak berpeluang menjadi ahli YGMB menerusi skim terdahulu untuk mendaftarkan diri sebagai ASE memandangkan penyertaannya yang bersifat lebih terbuka.
“Saya sendiri sebelum ini terlepas peluang untuk menyertai keahlian YGMB atas banyak faktor seperti usia yang sudah lanjut. Namun, dengan adanya ASE ini akhirnya membolehkan saya turut serta dan sama-sama nikmati manfaat yang ditawarkan YGMB,” katanya.
ASE merupakan produk terbaharu YGMB yang menawarkan perlindungan sehingga usia 80 tahun dengan nilai manfaat lebih berganda itu mula diperkenalkan sejak April tahun ini sebagai penghargaan dan hadiah kepada warga pendidik yang sentiasa memberi sokongan jitu terhadap semua aktiviti dan program anjurannya.