KEMAMAN, 8 Mac 2021 – Seorang guru yang masih dalam tempoh berpantang terpaksa mengharungi saat sukar apabila berdepan situasi cemas ketika banjir melanda kawasan perumahannya di sini pada awal Januari tahun ini.
Cikgu Noor Junainah Ariffin mengakui agak panik meskipun ini bukan kali pertama mereka mengalami situasi banjir kerana terpaksa meredah banjir bersama bayi yang baru berusia 60 hari.
“Walaupun ini kali keempat banjir melanda kawasan rumah kami, namun ia tidak seteruk pada tahun 2013 dahulu. Bagaimanapun, kami suami isteri tetap berasa cemas sewaktu dikejutkan oleh jiran pada pagi itu kerana mengenangkan saya yang masih berpantang dan perlu pastikan bayi kami selamat.
“Ketika itu, kami hanya sempat bawa beberapa helai baju beserta dokumen penting. Perabot lain semua kami biarkan sahaja. Kami boleh anggarkan kerugian kali ini hampir mencecah RM5,000 memandangkan perabot-perabot kayu semua memang tidak boleh diselamatkan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Cikgu Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuala Kemaman, Catherine Oh Siew Ling mengakui berasa trauma dan serik apabila mengenangkan kerugian yang perlu ditanggung setiap kali banjir melanda kawasan perumahannya.
“Sebenarnya saya tak jangka banjir tahun ini menjejaskan rumah saya agak teruk dengan mencatatkan kerugian hampir RM10,000 juga. Perabot rumah semua memang total lost memandangkan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa sewaktu kejadian berlaku.
“Walaupun pernah beberapa kali banjir, tapi rumah saya kalini agak lambat untuk air kembali surut berbanding rumah orang lain kerana air naik hingga ke paras pinggang. Hampir seminggu lebih kami perlu tunggu untuk keadaan kembali pulih. Sememangnya kami berasa letih dan penat sekiranya keadaan ini kembali berulang dan mula memikirkan untuk berpindah, ujarnya.
Kedua-dua cikgu tersebut merupakan antara 18 orang penerima wang manfaat bencana (banjir) sebagai ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM500 yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dekat sini hari ini.
Turut sama menerima wang tersebut ialah; Siti Wahyu Abd Wahab, Nur Amalina Mohd Noor, Norfauzilah Rashid, Tuan Anisah Karimah Abu Bakar, Roziah Samsudin, Abidah Jali, Norhafizah Ahmad, Siti Zubaidah Mohamad, Rafidah Abd Razak, Noor Aimah Rahman, Khazinah Hashim, Salwani Mat Salleh, Roslina Mohamad Nor, Rohaiza Mohd Yusoff, Baharuddin Mat Arshad dan Rosnaida Othman.