portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

PENOLONG JURUTERA UITM CEKAL URUS ARWAH ISTERI BERTARUNG NYAWA

Galeri

SEGAMAT, 8 Mac 2021 – Penolong Jurutera Bahagian Fasiliti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Khir Mohd Shah, 52 tabah dan cekal dalam mengurus arwah isterinya, Allahyarhamah Asmah Mohd Noh, 50 yang bertarung sakit kanser paru-paru sejak setahun yang lalu sebelum meninggal dunia pada 23 Januari tahun ini.

Khir berkata, pelbagai rawatan yang telah cuba diusahakannya demi memastikan arwah isteri mampu berjuang melawan penyakit sehingga sanggup mengambil cuti separuh gaji selama beberapa bulan.

“Selepas arwah disahkan menghidap kanser, kami dapatkan rawatan di beberapa hospital. Malah, sampai ke Kuala Lumpur saya bawa arwah untuk dapatkan rawatan lanjut.

“Keadaan dia juga semakin baik selepas itu dan saya sudah boleh bawa dia pergi makan angin. Namun, kegembiraan kami tidak berpanjangan apabila dia rasa sakit dan terdapat ketumbuhan di perutnya pula. Selepas daripada itu, sistem pemakanan dia juga sudah semakin menurun dan keadaannya semakin lemah,” jelasnya.

Bagaimanapun, Khir bersyukur apabila turut mendapat sokongan daripada anak-anak dalam mengharungi ujian tersebut.

“Anak sulung saya juga berhenti kerja demi menguruskan arwah di rumah sebelum ini. Walaupun sedih selepas pemergiannya, tapi saya percaya anak-anak semua redha terima ketentuan takdir ini kerana melihat arwah terus menanggung kesakitan juga amat memilukan hati kami, ujarnya.

Waris Asmah menerima wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM8,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat sambil disaksikan Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Nasir Mohamed Yunos.

Allahyarhamah Asmah yang juga merupakan Pembantu Tadbir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Li Chi, Segamat meninggalkan suami berserta tiga orang anak iaitu Nurauni Aqilah Khir; 26, Alif Zakwan; 21 dan Alif Zahin; 16.