portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

SARJAN AZMI TERIMA KHAIRAT KEMATIAN KEAHLIAN YGMB ARWAH ISTERI

Galeri

CHERAS, 26 Feb 2021 – Sarjan Pengangkutan (Teknikal) Water Cannon 1B, Unit 1, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Kuala Lumpur (KL), Nor Azmi Mail @ Ismail, 54 menerima wang Khairat Kematian keahlian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) arwah isterinya, Allahyarhamah Ustazah Noriza Othman, 48 bernilai RM8,000 dekat sini hari ini.

Allahyarhamah Noriza yang juga merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Rendah Agama (SRA) Darul Huda Seksyen 10, Wangsa Maju meninggal dunia akibat salur darah di kepala bengkak dan pecah pada 7 Disember tahun lalu.

Nor Azmi berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai usaha demi merawat penyakit saraf mata bengkak yang dialami arwah isterinya sejak mengandungkan anak bongsu mereka 11 tahun yang lalu.

“Kami mula tahu tentang penyakitnya sewaktu arwah tidak boleh buka mata ketika usia kandungan anak bongsu baru sahaja 6 bulan lebih. Namun, selepas melahirkan keadaan dia semakin beransur pulih. Oleh itu, kami sentiasa melakukan pemeriksaan doktor dan cuba pelbagai kaedah rawatan untuknya.

“Namun, pada Disember tahun lalu dia tiba-tiba jatuh di bilik mandi hingga mengakibatkan salur darahnya pecah dan menjejaskan fungsi otak. Tiada apa lagi mampu kami lakukan ketika itu selain perlu menerima ketentuan Ilahi,” ujarnya.

Nor Azmi turut memberitahu bahawa sebelum isterinya meninggal dunia, arwah sempat berpesan untuk menyemak keahlian YGMB yang pernah didaftarkannya sebelum ini.

“Selepas seminggu arwah pergi, saya cuba hubungi pihak YGMB dan ternyata semua urusan dipermudahkan. Saya bersyukur apabila sedikit sebanyak, wang yang arwah pernah carumkan ini boleh digunakan untuk anak-anak yang semuanya masih belajar,” katanya.

Allahyarhamah Noriza meninggalkan suami beserta empat orang anak iaitu Muhammad Fadhail Iman Nor Azmi; 24, Nur Anis Umairah; 18, Nur Arisya Maisarah; 16 dan Muhammad Ikmal Haziq; 11.

Wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat sambil disaksikan Inspektor Kepolisan Am Unit 1, PSP KL; Tuan Herman Salim dan Inspektor Water Cannon 1C, Unit 1, PSP KL; Tuan Muhammad Farid Padzillah di Pejabat Pentadbiran Unit 1, PSP KL dekat sini hari ini.