portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

BERGADAI BARANGAN KEMAS TAMPUNG KEHIDUPAN SELEPAS KEMATIAN SUAMI

Galeri

KOTA KINABALU: Semasa dimaklumkan mendiang suami layak menerima sumbangan Khairat Kematian di bawah Skim Emas Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Lusimoi Matsasak, 43, rasa seperti batu besar yang berada dibahunya hilang serta-merta.

Beliau berkata, sejak suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 8 April lalu, beliau kehilangan tempat bergantung dan terputus sumber pendapatan.

Sebagai suri rumah sepenuh masa, beliau hanya bergantung kepada pendapatan mendiang suami sebagai guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam Laut.

“Demi kelangsungan hidup, saya terpaksa bergadai barangan kemas untuk membeli barang keperluan dapur dan perbelanjaan sekolah anak selepas suaminya meninggal dunia.

“Jadi, apabila dimaklumkan mendiang suami layak menerima sumbangan khairat kematian, saya rasa betul-betul lega. Ini sumbangan yang paling cepat diterima oleh kami sekeluarga selepas suami saya meninggal dunia.

“Sumbangan ini memberi makna besar untuk kami tiga beranak meneruskan kehidupan,” katanya selepas penyerahan sumbangan khairat kematian YGMB di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Sepanggar baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin dan hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Lusimoi berkata, mereka dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anaknya telah berumah tangga manakala, seorang lagi berusia 11 tahun masih bersekolah di SK Inanam Laut, iaitu tempat suaminya mengajar sebelum meninggal dunia.

Mengulas lanjut katanya, sumbangan Khairat Kematian berjumlah RM52,029 itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menampung perbelanjaan sekolah anak bongsunya.

Sementara itu, Raisin berkata, komitmen YGMB dalam menyantuni kebajikan guru-guru di Sabah amat dihargai dan berharap lebih banyak guru akan menjadi ahli Yayasan tersebut pada masa akan datang.

Beliau berkata, guru yang belum menjadi ahli Yayasan Guru harus mengambil peluang ini untuk mendaftar sebagai ahli agar dapat menikmati faedah jangka pendek dan panjang yang ditawarkan kepada semua ahli.

“Justeru, Jabatan Pendidikan Negeri bersama-sama YGMB akan sentiasa turun padang bagi memberi penerangan dan penjelasan kepada guru-guru baharu untuk berdaftar sebagai ahli.

“Ketika ini, bilangan keahlian YGMB mungkin kurang kerana guru kurang didedahkan dengan Yayasan Guru jadi, usaha berterusan akan dilaksanakan untuk memberi pemahaman mengenai manfaat YGMB.

“Sekurang-kurangnya kebajikan guru akan terbela apabila berlaku musibah seperti yang terjadi kepada guru SK Inanam Laut, mendiang Joannis Koiting,” katanya. – UTUSAN