KEHILANGAN HAZURA DITANGISI ANAK MURID
JEMPOL 9 Jun 2020- Pemergian Allahyarhamah, Hazura Alauddin iaitu guru Sekolah Kebangsaan Felda Lui Selatan, Bandar Seri Jempol pada 9 Disember tahun lalu cukup dirasai.
Bukan sahaja diratapi oleh keluarga Allahyarhamah, pemergian Hazura yang berumur 38 tahun akibat kegagalan fungsi otak itu juga turut ditangisi oleh murid-murid dan warga sekolah tempatnya berkhidmat.
Ia terbukti apabila rumah Allahyarhamah di Jalan Cempaka, Sungai Lui Barat, Jempol dipenuhi anak-anak murid dan juga warga pendidik SK Felda Lui Selatan pada hari pemergiannya.
Ibu Allahyarhamah Hazura, Hasieh Othman berkata, pemergian anak sulungnya itu cukup dirasai kerana Allahyarhamah merupakan tulang belakang dan tempat beliau meluah rasa.
“Saya sangat terkilan dan seakan-akan tidak boleh terima dengan cara pemergiannya. Hazura tiada sakit apa-apa. Dia dimasukkan ke hospital dua hari sebelum disahkan meninggal dunia.
“Masa dimasukkan ke hospital, dia sudah tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan. Saya rasa kehilangan, dia seorang yang bertanggungjawab dan sangat sayangkan orang sekeliling.
“Allahyarhamah merupakan guru agama dan beliau kuat bekerja, dia sanggup berkorban membelanjakan wangnya sendiri untuk bantu murid yang susah.
“Hari raya pada tahun ini tidak bermakna tanpa Hazura di sisi,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan Khairat Kematian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM8,000 yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Menurut Wan Munadi, Khairat Kematian merupakan salah satu manfaat yang diterima oleh ahli-ahli YGMB.