PENINGGALAN AKHIR MENDIANG ISTERI BANTU RINGANKAN BEBAN SUAMI TERUSKAN HIDUP BERSAMA ANAK TUNGGAL
Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen
SABAK BERNAM, 26 Nov 2020 – Meskipun masih berasa sedih dengan pemergian mendiang isteri, Cikgu K. Umamageswary, 32 sejak dua tahun lalu, namun suaminya, Cikgu K. Poobalasingam, 39 tetap bersyukur apabila menerima peninggalan terakhir isterinya sebagai ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM8,000 hari ini.
Poobalasingam berkata, dia tidak menyangka mendiang isterinya sempat mendaftarkan diri sebagai ahli YGMB sebelum meninggal dunia akibat penyakit kencing manis yang kronik.
“Sehingga kini saya masih sedih mengenangkan kehidupan kami dua beranak setelah ketiadaannya, namun saya tetap bersyukur dengan jasa dan budinya kerana wang peninggalan terakhir dia sebagai ahli YGMB yang diterima ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya untuk membesarkan anak tunggal kami.
“Saya baru sahaja dapat tahu tentang keahlian isteri setelah buat lawatan di sekolahnya pada awal tahun ini. Selama ini, saya hanya tahu diri saya seorang sahaja menjadi ahli YGMB memandangkan saya juga seorang guru.
“Selepas beliau meninggal, saya memang tidak mampu fikir perkara apa lagi yang boleh saya lakukan. Namun, setelah mendapat penerangan daripada pegawai YGMB yang hadir beri taklimat di sekolah saya, baru saya hubungi semula pihak YGMB untuk proses seterusnya, jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Bapa kepada P. Varun Krrishna, 4 itu turut menasihati agar para guru yang masih belum menjadi ahli untuk berbuat demikian agar peluang manfaat dan kebajikan yang ditawarkan YGMB dapat dinikmati.
“Kita tidak tahu, malang itu boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Sekiranya kita jadi ahli YGMB, sekurang-kurangnya kita ada sedikit sumber bantuan di saat diri ditimpa musibah. Jadi, memang tidak rugi untuk warga pendidik khususnya cikgu-cikgu menggunakan peluang ini sebaiknya,” ujarnya.
Poobalasingam turut menerima wang Khairat Kematian Pasangan berjumlah RM1,000 memandangkan dia juga merupakan Ahli Skim 16 YGMB.