KOTA BHARU, 10 FEBRUARI 2026 – Kebajikan pesara guru terus diberi perhatian apabila Azhar Yusof, 62, menerima manfaat Penyakit Kritikal berjumlah RM50,444.81 di bawah Skim Emas Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
Beliau telah menukar keahliannya daripada Ahli Seumur Hidup kepada Ahli Skim Emas pada Julai 2023 ketika berada di penghujung perkhidmatannya, sebelum bersara pada bulan yang sama.
Azhar mula mengalami masalah kesihatan sejak Januari 2023 yang berlarutan sehingga beliau diserang strok pada awal tahun 2024. Keadaan tersebut menyebabkan beliau tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri dan kini terlantar. Kehidupan hariannya dibantu oleh anak-anak, lebih-lebih lagi setelah kehilangan isteri tercinta beberapa tahun lalu.
Majlis penyerahan manfaat tersebut diwakili oleh anak lelaki beliau, Ahmad Hamzi Azhar, yang hadir menerima cek cura bagi pihak bapanya.
Cek cura manfaat telah disampaikan oleh Pengetua SMK Tanjung Chat, Rino Asmirul bin Ismail, sambil diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Drs. Haji Ahmad Yani Muhammad dan Amran Ghani.

