Skip to main content
x

TERIMA HADIAH PERSARAAN, LIM LUAH RASA SYUKUR

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

 

MELAKA, 18 Sept 2020 – Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik Melaka, Lim Hiang Lam, 60, meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima hadiah persaraan sebagai ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dalam Majlis Bicara Petang Jambangan Memori Lambaian Kasih sempena Persaraan Pengetua-Pengetua dan Pergerakan Pengetua ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka, hari ini.

 

Lim berkata, penghargaan yang diberikan kepadanya itu amat bermakna dan menunjukkan bahawa YGMB sebagai sebuah organisasi yang sentiasa berusaha untuk menyantuni dan menghargai jasa warga pendidik khususnya guru-guru yang berkhidmat kepada anak bangsa.

 

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YGMB kerana prihatin terhadap kami warga pendidik dengan memberi hadiah persaraan ahli. Hal ini menunjukkan bahawa YGMB sememangnya prihatin dan menjadikan guru sebagai golongan yang sentiasa dekat di hati YGMB.

 

"Sebenarnya, saya sudah lebih 20 tahun menjadi anggota seumur hidup YGMB ini. Pelbagai manfaat pernah saya peroleh dari semasa ke semasa seperti insentif pendidikan ketika saya menamatkan pengajian. Kini, apabila saya bakal menamatkan perkhidmatan tidak lama lagi, YGMB sekali lagi tampil dengan sumbangannya dan saya benar-benar terharu, tidak sangka secepat ini" ujarnya.

 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Melaka; Tuan Haji Karim Tumin, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Melaka; Yusri Seman dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB; Dato' Wan Munadi Wan Mamat.

Lim turut berharap agar lebih ramai warga pendidik untuk terus memberi sokongan kepada YGMB dengan menjadi ahlinya kerana percaya akan segala manfaat yang ditawarkan oleh pihak YGMB.

 

"Saya yakin, YGMB ini sendiri ditubuhkan khas untuk profesion guru, jadi ia sepatutnya disokong oleh semua guru. Pelbagai manfaat yang boleh diperoleh seperti manfaat apabila ahlinya ditimpa bencana banjir, khairat kematian, insentif pendidikan tinggi dan banyak lagi.

 

Hadiah disampaikan sendiri oleh Wan Munadi di Hotel MITC Melaka.