Skip to main content
x

KANSER LIMFOMA TIDAK HALANG NAZARUDDIN TERUSKAN PENGAJIAN PERINGKAT PHD

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

 

LUKUT, 19 Okt 2020 – Meskipun disahkan menghidap penyakit kanser limfoma tahap dua, namun ia tidak mematahkan semangat Nazaruddin Abdul Hadi, 45 untuk terus melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) yang sedang diikutinya sejak tahun 2018.

 

Jelas Nazaruddin yang merupakan Guru Reka Bentuk Teknologi di Sekolah Menengah Agama Chuah, Port Dickson itu, sokongan moral daripada isteri dan anak-anaknya merupakan salah satu faktor penting buatnya untuk meneruskan pengajian dan juga berjuang melawan sakit kanser.

 

“Saya tidak mahu mereka bersedih melihat keadaan saya sakit, jadi saya perlu kuat dan teruskan kehidupan seperti biasa. Sebenarnya, penyakit adalah untuk menghapuskan dosa-dosa kita.

 

“Sepanjang tempoh saya melalui rawatan kimoterapi sejak Mac lalu, saya berjaya menyiapkan empat artikel berkaitan pengajian saya. Sebenarnya, perkara itu secara tidak langsung memberikan semangat untuk saya terus berjuang melawan dan melupakan sakit yang saya sedang lalui.

“Saya tidak suka menunjukkan saya lemah, walaupun sebenarnya saya akui rawatan itu amat memeritkan. Tetapi, apabila kita terus positifkan minda, kita mampu laluinya dengan baik,” ujarnya.

 

Nazaruddin turut menasihati kepada setiap penjawat awam agar menambah skim bantuan perlindungan diri dan keluarga demi kepentingan masa akan datang.

 

“Hanya bila kita sudah terkena penyakit seperti ini, baru kita tahu kepentingan membuat tambahan alternatif perlindungan diri dan keluarga. Saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang sentiasa peka dan mendaftarkan nama kami sebagai salah seorang ahli seperti Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sehingga membolehkan kami memperoleh pelbagai manfaat.

 

“Sebenarnya, banyak kos rawatan yang perlu ditanggung sendiri walaupun kita sebagai penjawat awam. Jadi, apabila kita ada skim bantuan perlindungan seperti ini, sedikit sebanyak ia mampu meringankan bebanan hidup," katanya.

 

Nazaruddin kini sedang bercuti mengajar kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian PhD dalam bidang Teknologi Instruktsional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah program tajaan Hadiah Latihan Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Bapa kepada lima orang cahaya mata itu turut mendapat elaun rawatan hospital dan pernah menerima Insentif Pendidikan bagi diri sendiri, isteri dan anak-anaknya serta Hadiah Kelahiran Anak daripada YGMB sebelum ini.

 

Wang Penyakit Kritikal tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat di kediamannya dekat sini.