Skip to main content
x

USTAZ ABDULLAH TERIMA SEMUA MANFAAT SEBAGAI AHLI SEUMUR HIDUP

KOTA BHARU, 25 Ogos 2020 - Allahyarham, Ustaz Abdullah Ibrahim sepanjang hayat beliau pernah menerima dan merasa semua manfaat kebajikan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Ustaz Abdullah yang merupakan Ahli Seumur Hidup YGMB ternyata betul-betul memanfaatkan segala insentif dan juga kelebihan yang dijanjikan apabila menjadi Ahli Seumur Hidup YGMB.

Abang Ustaz Abdullah, Kamarudin Ibrahim berkata, beliau mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada YGMB kerana memudahkan urusan semua tuntutan Allahyarham.

Tidak cukup dengan itu katanya, YGMB juga menunjukkan keprihatinan mereka apabila turut datang menziarahi Allahyarham ketika beliau sedang bertarung sakit kanser.

“Ustaz Abdullah meninggal dunia pada 8 Julai lalu akibat penyakit kanser dan beliau merupakan Ahli Seumur Hidup YGMB. Alhamudillah beliau sempat merasa manfaat sebagai ahli.

“Manfaat YGMB itu merangkumi pelbagai perkara seperti anak tamat pengajian, manfaat kebajikan ketika rumahnya dilanda banjir pada 2014 dan sehinggalah yang terakhir khairat kematian.

“Terima kasih YGMB kerana permudahkan segala tuntutan adik saya. Tahniah kepada yayasan kerana memainkan peranan yang baik membela kebajikan dan nasib guru,” katanya.

Secara keseluruhan Ustaz Abdullah menerima manfaat sebanyak RM1,800 iaitu bencana (RM300), persaraan (RM200), rawatan (RM500), tamat pengajian anak (RM300) dan khairat kematian (RM500).

Mengulas mengenai keperibadian Ustaz Abdullah, Kamarudin berkata, beliau merupakan seorang yang sangat kasih dan taat kepada keluarga selain bijak dalam pengurusan.

“Allahyarham berkelulusan bahasa Arab dari Universiti Madinah, Arab Saudi dan sekolah pertama beliau mengajar ialah di SMK Al-Mashoor di Pulau Pinang sebelum berpindah ke SMKA Falahiah.

“Kebolehan beliau dalam bahasa Arab mendapat kepercayaan kementerian apabila dilantik sebagai salah seorang guru yang bertangungjawab membuat kertas peperiksaan SPM dan STPM.

“Saya tengok adik saya ini seorang yang gigih dan bekerja dengan teratur dalam pengurusan. Buku rancangan mengajarnya juga diambil oleh kementerian untuk dijadikan contoh,” katanya.

Selain itu katanya, sekolah terakhir Ustaz Abdullah bertugas sehingga bersara ialah di SMKA Naim Lilbanat di Kota Bharu dan ketika itu penyakitnya belum lagi dapat dikesan.

“Penyakit yang pada mulanya tidak dapat dikesan dengan mata kasar kecuali kita dapat tengok fizikal badannya berubah menjadi semakin kurus. Keluarga ada cadangkan beliau buat pemeriksaan, tetapi Allahyarham takut.

“Namun, atas desakan keluarga, adik saya cuba beranikan diri dan rupa-rupanya beliau hidap kanser sampai ke hati. Selepas itu pelbagai prosedur rawatan dilaluinya,” katanya.

Allahyarham Ustaz Abdullah meninggalkan seorang balu dan lima orang anak iaitu seorang lelaki dan empat perempuan.

“Sepanjang hayatnya dia sangat kasihkan anak-anak, beliau juga pernah berpesan kepada saya agar tolong jaga dan tengokkan mereka selepas beliau tiada dan pesanan itu saya pegang sampai sekarang,” katanya.