Skip to main content
x

YGMB SEDIAKAN MANFAAT KEBAJIKAN UNTUK AHLI POSITIF COVID-19

KUALA NERUS - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sentiasa peka dengan keadaan semasa termasuk dalam menyediakan manfaat kebajikan untuk ahli yang dijangkiti wabak dan penyakit berjangkit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, terbaharu YGMB telah menambahbaik skim kebajikan daripada 18 kepada 19 manfaat demi kebajikan semua ahli yayasan.

 

Beliau berkata, dalam situasi semasa ketika negara dilanda pandemik Covid-19, tambahan skim ini sangat diperlukan terutamanya untuk warga pendidik yang akan mula bertugas pada 24 Jun ini.

 

“Tambahan skim ini adalah tanda keprihatinan YGMB dalam menjaga kebajikan guru yang terdedah kepada wabak penyakit yang tidak menentu serta penyakit yang mudah berjangkit.

 

“Ketika ini kita berdepan Covid-19 dan para guru akan kembali memulakan tugas pada 24 Jun ini. Suasana mengajar juga berubah dalam norma baharu, jadi kita perlu bersedia,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan terbaharu YGMB dalam program peningkatan profesionalisme pengawai-pegawai PPD Kuala Nerus baru-baru ini.

 

Pada program berkenaan, Ketua Pegawai PPD, Hamid Yahya telah menyerahkan borang keahlian kepada Wan Munadi, turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda.

 

Selain itu, Wan Munadi berkata, tambahan skim manfaat kebajikan yang diperkenalkan oleh yayasan itu tidak akan memberi kesan kepada jumlah yuran yang dikenakan kepada ahli.

 

“Demi kebajikan ahli, YGMB telah menilai dan menambah baik skim manfaat kebajikan. Lebih menggembirakan, ia tidak menjejaskan jumlah yuran yang dikenakan kepada ahli.

 

“Manfaat ni juga terpakai kepada semua ahli termasuk ahli seumur hidup,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Wan Munadi turut meminta ahli yang disahkan positif Covid-19 agar menghubungi YGMB bagi membolehkan manfaat kebajikan ini dapat disalurkan.