YGMB TAMBAH MANFAAT DALAM SKIM BAHARU
KOTA BHARU, 11 OKT 2018 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bukan sahaja komited menjaga kebajikan guru di Malaysia, malah bertanggungjawab memastikan ahlinya mendapat manfaat sebanyak yang mungkin dalam penglibatan mereka bersama badan itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, dengan skim yang sentiasa diperkemas, YGMB sebenarnya membuka ruang luas kepada ahlinya untuk membuat pilihan apa manfaat bakal mereka peroleh berpandukan apa yang disediakan yayasan.
“Sebelum ini, skim kita ada semurah RM10, kini kita tambah lagi manfaat dengan serendah RM28 sebulan. Manfaat juga bertambah dan yang paling terbaru termasuk pengendalian kos guaman jika adaguru-guru yang terlibat dengan kes.
“Manfaat yang kita tambah baik ini merupakan keperluan semasa guru-guru masa kini dan ia cukup berbaloi dengan nilai RM28 sahaja sebulan.
Kita sentiasa mahu memenuhi aspek kebajikan dan keperluan semasa ahli.
“Kali ini, YGMB tampil dengan produk baru dengan minimum bayaran tetapi manfaat yang diterima guru adalah pelbagai. Itu yang kami fokuskan. Manfaat ini bukan untuk orang lain, tapi untuk guru-guru dan juga pewaris mereka nanti,” katanya kepada media selepas menyampaikan taklimat khusus mengenai YGMB di Majlis Perkongsian Ilmu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Tunjong, baru-baru ini.
Menurutnya, antara sumbangan dan kebajikan kepada ahli baharu ialah khairat kematian iaitu RM27,000 dan RM52,000 untuk kemalangan, manakala khairat kematian pasangan ialah RM2,000 dan anak-anak (maksimum tiga orang berumur 18 tahun ke bawah) ialah RM1,000.
Manakala kebajikan lain ialah elaun hospital, penyakit kritikal, ragut, kemalangan jalan raya, insentif pendidikan, bencana, sagu hati mengerjakan haji, hadiah persaraan, kelahiran anak, hadiah perkahwinan dan kos bantuan guaman.
“Dengan hanya RM28 sebulan, semua manfaat tersebut diperoleh setiap ahli dan ia bukan hanya melibatkan guru, ia terbuka juga kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan. Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang kami iaitu www.ygmb.com. my atau menghubungi pihak YGMB terdekat,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Ahli Dewan Negara, Senator Husam Musa memohon semua guru-guru di Kelantan mendaftar dengan yayasan bagi memastikan mereka tidak terlepas dari segala manfaat yang disediakan.
“Di Kelantan, hanya 6,500 sahaja ahli yang sudah berdaftar dan manfaat ini sangat penting terutamanya apabila kita ditimpa musibah. Manfaat lain pun banyak lagi, bukan hanya bencana sahaja,” katanya.
Tak sangka dapat sumbangan Bapa kepada Allahyarham Ira Durani Nawawi, 34, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru, tidak menyangka anaknya pernah menyertai YGMB semasa hayatnya.
Nawawi Muhammad, 63, berkata, perkara itu diketahuinya setelah dihubungi oleh pihak sekolah yang memaklumkannya walaupun Allahyarham pernah menyuarakannya secara tidak langsung kepada salah seorang ahli keluarga.
“Dia ada beritahu, tapi saya tak ambil tahu sangat. Saya hanya ikut saja. Sampailah arwah meninggal kami dimaklumkan mengenai YGMB ini. Kami terkejut tetapi bagi kami ia sangat memberi manfaat kepada guru-guru supaya semua kebajikan isteri atau suami si mati termasuklah anak-anaknya, akan terjaga dan terbela secara tidak langsung,” katanya.
Ira Durani meninggal dunia pada 12 Julai lalu, selepas bertarung di dalam unit rawatan rapi lebih 20 hari akibat penyakit yang dialaminya.
Sementara itu, Norazian Ismail, isteri kepada Allahyarham Lukman Isa, 47, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 29 Julai lalu, mengucapkan terima kasih kepada YGMB kerana menyumbang khairat kematian suaminya.
Menurutnya, dia dan suami adalah ahli YGMB sejak beberapa tahun yang lalu dan tidak menyangka idea yang diberikan sahabatnya membuahkan hasil apabila suami juga bersetuju untuk menyertai YGMB.
“Pada mulanya, saya hanya dapat maklumat dari rakan. Ketika itu saya di Pahang. Saya beritahu pada arwah dan arwah setuju untuk sama-sama jadi ahli.
Bagaimanapun, arwah disahkan kanser usus pada tahun 2016, dia sempat menjalani pembedahan dan kemoterapi.
“Saya berharap guru-guru di luar sana yang masih belum mendaftar bolehlah berbuat demikian kerana malang tidak berbau. Dengan adanya YGMB, mereka boleh membantu meringankan sedikit beban yang kita alami dengan hanya komitmen yang sangat kecil setiap bulan,” katanya.
Allahyarham yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Hamzah 1, meninggalkan Norazian bersama empat anak berumur 12, 10 dan pasangan kembar 7 tahun.
Sumber: Sinar Harian